Thursday, March 10, 2016

Tuah

     "Eh you buat apa kat sini ?" Wong menyapa ramah . Dia memang begitu , orang panggil 'mesra alam' . Tidak kira bangsa atau agama , Wong memang mudah membuat kawan . Hani yang sedang membelek resit baki wang usai urusannya di bank terus mengangkat mukanya tersenyum . " Aku tengah tunggu Athirah , janji nak jumpa sini tapi dah lama jugak ni . Aku tertinggal phone kat bilik , tak dapat contact dia . Pinjam phone kau jap boleh ? " " Ambillah , I nak pergi bank jap tau , " Wong menyerahkan telefon bimbitnya dan berlalu ke bank . " Nasib baik budak ni lalu , kalau tak terpaksa aku naik bilik tutorial balik , " desis hati kecil Hani .

     " Dah whatsapp Athirah ? " Wong menegur dari belakang . " Fuh , terkejut aku . Cuba bagi salam dulu , " Hani mengurut dadanya . " Dah , macam lama lagi kot . You nak balik Nurani ke ? " Wong berfikir lama , " Hmm , nak balik ke tak eh ? Study library lah . Jom , " Wong menukar arahnya ke arah Murni . Memang selalu dia makan di Murni dulu baru ke perpustakaan kerana bangunannya satu jalan ke Murni . Hani mengikut dari belakang .

     Mereka berborak panjang sehingga sampai di hadapan laluan menurunkan pesakit , Wong menoleh sedikit wajahnya " Eh , mereka itu boleh ke ? " dia bertanya Hani . Hani turut sama melihat ke arah pandangan Wong , " Macam okay je , " Namun Wong secara tiba-tiba berpatah balik berjalan pantas ke arah kerumun keluarga Melayu yang sedang mengangkat seorang kanak-kanak yang diikat kakinya dengan kain dan kayu panjang . Kanak-kanak tersebut nampak seperti sedikit istimewa dan kurus daripada kanak-kanak normal yang lain . Hani menoleh pula ke arah seorang lagi remaja lelaki yang duduk di atas kerusi roda berdekatan dengan katil kanak-kanak perempuan tadi . Dia cuba turut sama menolong tetapi ahli keluarga tersebut sudah cukup untuk menolak katil dan kerusi roda kanak-kanak dan remaja tadi termasuklah Wong yang berada di hadapan sekali menyorong katil kecil itu .

     Hani berjalan sama di sebelah seorang pemuda yang membantu menolak kerusi roda remaja lelaki tadi sambil berborak bertanyakan khabar dan perihal remaja tersebut . Adik-beradik rupa-rupanya remaja lelaki tersebut dengan kanak-kanak perempuan itu . Mendengarkan perkara tersebut , Hani berasa sedikit kagum melihat usaha ahli keluarga mereka membawa mereka ke hospital beramai-ramai . Wajah mereka senang dan tidak nampak sebarang rasa terpaksa menguruskan dua beradik yang Hani kira sedikit istimewa dari orang lain itu . Sesampainya mereka di hadapan klinik ortopedik HUSM , mereka mengucapkan terima kasih dan Wong bersama-sama Hani pun meninggalkan klinik itu meneruskan perjalanan ke kafe Murni .

     " Kita kalau lihat orang macam susah sedikit , kita mesti mahu tolong punya , " Wong memulakan percakapan pelat Cinanya . Hani sedikit malu mendengar kata-kata Wong , menyedari dia jarang peka dengan keadaan sekelilingnya padahal kawasan universitinya berada dalam hospital yang secara logiknya penuh dengan orang yang sakit dan memerlukan pertolongan . " I kalau pergi kelas , mesti guna jalan hospital . Sebab I tahu , mesti ramai yang kita boleh tolong . Kadang-kadang I tengok ah , student medic semua main jalan saja tak tengok orang kanan kiri . Kita ni , kira bertuah boleh hidup sihat , tak macam orang lain , " Wong menyambung panjang . Hani memandang Wong , mengangguk tanda bersetuju . Mereka sampai di kafe dan mengucapkan selamat tinggal sebelum Hani naik ke bilik membawa pulang sebungkus nasi dan pengajaran .


No comments:

Post a Comment